Photobucket
http://airrakyat.epetitions.net/images/petitions/046bde8e644231f0515ba45e14f2e9df/topBanner.jpg

14 August 2008

Nahas terburuk -- * 20 maut * 8 parah

Oleh ABDUL RAZAK DIN dan ANGELINA SINYANG

http://utusan.com.my/pix/2007/0814/Utusan_Malaysia/Muka_Hadapan/mh_01_big.jpg

HANCUR... Bas Super Express yang remuk dan bumbungnya tercabut selepas terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 229, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Taiping, Perak, semalam. – Gambar HANAFI KHAMIS.


TAIPING 13 Ogos – Seramai 20 orang maut, lapan cedera parah manakala seorang cedera ringan apabila bas ekspres berusia 20 tahun yang mereka naiki terhumban ke parit sedalam lima meter di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4.28 pagi yang disifatkan sebagai nahas jalan raya terburuk itu, 19 mangsa termasuk 13 lelaki dan sepasang suami isteri berasal dari Indonesia mati di tempat kejadian manakala seorang lagi yang cedera parah, meninggal dunia di Hospital Taiping (HT) pukul 5 petang ini.

Bas membawa 29 penumpang itu dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Butterworth, Pulau Pinang. Nahas ngeri dua kilometer dari Hentian Sebelah Bukit Gantang arah utara dan lima kilometer sebelum Plaza Tol Changkat Jering itu turut membunuh pemandu bas yang kemudiannya dikesan mempunyai 15 saman termasuk dua waran tangkap.

Lebih buruk lagi, bas Super Express itu yang digunakan sejak 1987 dan gagal empat kali pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. baru-baru ini kerana masalah brek, disaman 19 kali oleh polis sejak 1991 selain merekodkan 79 saman dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak lima tahun lalu.

Sehingga malam ini, 19 daripada 20 mangsa yang terbunuh sudah dikenal pasti identiti mereka termasuk pemandu bas, Rohizan Abu Bakar, 38, berasal dari Kulim, Kedah.

Penumpang yang maut ialah H. Abu Bakar dan isterinya, Sri Asiah, 32, dari Medan Timur, Indonesia; Krishnan a/l Thirumalai, 46, dari Kuala Ketil, Kedah; Sundram Prya Sam, 31, (Tanah Merah, Jitra, Kedah); Fadliz Ahmad, 22, (Jasin, Melaka); Josli Arshad, 39, (Jambatan Duyong, Melaka).

Mangsa lain Nazri Noordin, 35, (Ayer Hitam, Pulau Pinang); Pang Tee Min, 58, (Jalan Ong Kim Wee, Melaka); Mohd. Yazid Md. Yusoh, 23, (Jasin, Melaka); Md. Basri (Merlimau, Melaka), Kamis Said, 62, dan isterinya, Zaiton Majid, 56, (Masjid Tanah, Melaka).

Turut terkorban ialah Nursaarul Miza Khairi, 27, (Sungai Petani, Kedah); Siti Sophiya Ismail, 23, (Alor Setar, Kedah); Teoh Kee Song, 34, dan isterinya, Cheng Chun Joo dari Padang Temusu, Kedah serta Zuliyani Buang, 25, dari Tanjong Keling, Melaka.

Mangsa yang meninggal dunia di HT petang ini ialah seorang penumpang, Shahril Afendi, 22, dari Alor Star, Kedah.

Lapan penumpang yang parah ialah pemandu kedua, P. Veeraman, 36, dari Sepang, Selangor, dua warga Vietnam yang bekerja di kilang Eastern Asia Industry Sdn. Bhd. di Pulau Pinang iaitu Quang Ngoi Hung dan Ngu Yeh Hui Vinh, 27.

Turut parah ialah Mohd. Fauzi Hassan, 27, dari Sabah, Zurina Rashid, 23, (Kuala Kedah, Kedah); Mohd. Zahidi Che Ahmad, 22, (Kelawang, Langkawi); Siew Ken Meng, 21, dari Melaka dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang belum dikenal pasti identitinya.

Seorang lagi penumpang, Chatrapati Eyam, 24, iaitu warga Nepal pekerja kilang perabot di Nibong Tebal, Pulau Pinang dibenarkan hanya menerima rawatan pesakit luar.

Dalam kemalangan pagi ini, bas yang menuruni bukit itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di kiri lebuh raya sebelum terbalik dan terhempas ke atas seketul batu besar lalu terhumban ke parit di tepi jalan. Ini menyebabkan bas itu remuk teruk dengan bumbung dan tempat letak barangnya tercabut.

Insiden itu mengakibatkan penumpang terperosok dan banyak mangsa tidak dapat diselamatkan kerana keadaan mereka yang jatuh bertindih antara satu sama lain. Kebanyakan mereka dipercayai mati kerana kecederaan parah di kepala dan dada ekoran hentakan kuat ketika bas terhempas ke batu.

Seramai 40 anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir tiga jam mengeluarkan mangsa. Kerja-kerja menyelamat hanya selesai kira-kira pukul 10 pagi.

Jumlah mayat terlalu banyak menyebabkan Unit Forensik HT kekurangan kakitangan menjalankan bedah siasat dan terpaksa meminta bantuan pegawai forensik hospital berhampiran termasuk Ipoh, Parit Buntar dan Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak menegaskan, pihaknya akan menyiasat punca kemalangan sama ada disebabkan kecuaian manusia atau masalah teknikal bas.

“Tiada kesan perlanggaran di tempat kejadian tetapi jalan di situ agak menurun, mungkin bas terhumban masuk ke parit semasa menuruni bukit.

“Kenderaan ini mungkin remuk teruk sehingga tercabut bumbung dan tempat simpan barang di atasnya selepas terhentak kuat pada batu besar dalam parit itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, ekoran nahas tersebut, kementerian menubuhkan pasukan penyiasat melibatkan pegawai Institut Keselamatan Jalan Raya (Myros), JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Berdasarkan rekod juga, kita dapati bas terlibat sudah berusia 20 tahun, kali terakhir membuat pemeriksaan Puspakom ialah pada Mei lalu dan patut diperiksa semula pada November ini.

“Kita juga siasat sama ada kemalangan itu berpunca daripada struktur jalan raya, pengurusan bas dan keadaan bas itu sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HT di sini, hari ini. Bas Super Express itu milik Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Berhad.

Turut hadir Ketua Trafik Persekutuan, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Taib.

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp


Ulasan aku: Bila kemalangan ngeri sebegini berlaku maka akan kecoh lah sekejap pihak-pihak yang berkaitan nak kuatkuasa itu dan ini, siasat itu dan ini. Kenyataan pun keluar lah macam-macam, tidak akan berkompromi lah dan bla...bla..... Akhir nya nanti apa akan jadi ?.. Yang mati tetap menjadi mangsa, tindakan tegas pada yang terlibat belum tentu akan di kenakan, kemalangan ini akan hanya menjadi penambah statistik kemalangan....dan begitu lah seterus nya dan ini lah Malaysia Tanah Air ku...


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...