SHAH ALAM, 25 Sept - Bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak perlu terlalu ghairah memecah-belahkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sebaliknya perlu terlebih dahulu memberi penjelasan berkenaan salah guna peruntukan DUN yang dihabiskan dalam masa kurang daripada tiga bulan semasa Selangor di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kata ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.
Katanya, Mantan Menteri Besar itu turut menuduh DAP memanipulasikan SELCAT bagi menunjukkan mereka lebih berkuasa berbanding parti-parti lain di Pakatan Rakyat.
Menurutnya, Khir Toyo dalam satu kenyataan yang diterbitkan akhbar tempatan Rabu lalu membidas DAP sebagai ‘menggunakan SELCAT sebagai platform untuk menunjukkan kekuasaan mereka di negeri Selangor’.
“Sebenarnya, apa yang dituduhkan oleh Khir adalah bersifat spekulasi semata-mata dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,”demikian kata Lau dalam kenyataannya semalam.
Katanya, Selcat yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008 untuk menegakkan prinsip-prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan di Selangor.
Katanya, selama 50 tahun BN dan UMNO mentadbir Selangor, prinsip-prinsip yang penting ini semakin terhakis, khususnya semasa Selangor ditadbir di bawah Khir Toyo.
“Bagi memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan kerajaan Selangor, Dewan Negeri Selangor telah menubuhkan SELCAT yang ditugaskan khas untuk menegakkan prinsip-prinsip ini dalam pentadbiran kerajaan negeri melalui satu proses pemantauan yang belum pernah dilaksana di Selangor dan Malaysia tetapi sudah menjadi satu kebiasaan bagi sistem pentadbiran Demokrasi Berparlimen di negara-negara maju yang lain, khususnya negara-negara Komanwel, iaitu melalui pendengaran terbuka,” katanya.
Lau yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, daripada terus mengaut di dalam air keruh, adalah lebih baik untuk Khir menjelaskan bagaimana beliau sebagai Menteri Besar pada masa itu membenarkan perkara itu terus berlaku.
“Kalaulah beliau yang benar-benar ikhlas dalam mempertahankan pegawai-pegawai kerajaan, maka saya menyeru kepada beliau agar tampil ke hadapan dan menjawab segala persoalan yang
timbul”, katanya.- selangorkini.com.my
No comments:
Post a Comment