31 July 2009

ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, kembali kerahmatullah

http://3.bp.blogspot.com/_XEGv-B9k1C8/SEwBw9mxyBI/AAAAAAAAAJ4/jXTpn0UG48E/s320/adunpp.jpg

Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat (PAS) bagi DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, Dato' Hj. Mohd. Hamdan Abd.Rahman telah kembali kerahmatullah di IJN KL pagi ini, demikian menurut sumber yang diperolehi, lapor YB Drs. Khalil Idham Lim.

Menurut sumber itu beliau telah mendapat pengesahan dari saudara terdekat almarhum dan Bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli. Malumat itu juga telah mengesahkan bahawa sehingga berita ini diterbitkan, jenazah masih berada di IJN Kuala Lumpur.

Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri selama 14 tahun itu menjadi ADUN Permatang Pasir selama tiga penggal mulai tahun 1999 sehingga sekarang. DUN Permatang Pasir terletak di kawasan Parlimen Permatang pauh.

Di dalam PRU 2004, Allahyarham dari PAS mengalahkan Md.Isa Ramli dari BN dengan majoriti 679 undi dan pada PRU 2008, Allahyarham Datuk Hamdan mengalahkan calon BN, Ahmad Sahar Suhaib dengan majoriti 5,433 undi.

Menurut amalan biasa dan mengikut akta SPR pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari apabila berlaku kekosongan di mana-mana kerusi DUN atau Parlimen.

Berdasarkan pilihanraya kecil Penanti, UMNO BN dijangka tidak akan meletakkan calonnya di Permatang Pasir kerana ia didakwa sebagai satu percaturan politik Pakatan Rakyat dan ia membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit, apa tah lagi di DUN Permatang Pasir ini UMNO BN hanya memperolehi 5,571 undi berbanding PAS PR yang memperolehi 11,004 undi.

Menurut adik lelakinya, Mohd Shukran, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Siti Khariah Ismail dan enam orang anak.

Katanya, beliau mendapat berita mengenai kematian abang sulung daripada 14 adik beradik itu pada kira-kira pukul 7.15 pagi ini.

"Abang saya itu mengadu penat dan sakit dada dan dibawa oleh anaknya ke IJN untuk pemeriksaan dan rawatan. Beberapa tahun lalu, beliau pernah menjalani pembedahan jantung," katanya.

Menurutnya, isteri Allahyarham tidak menemani suaminya itu di IJN kerana tidak sihat.

Mohd Hamdan, yang berasal dari Kedah, baru sahaja menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk kira-kira tiga minggu lalu sempena hari lahir Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Allahyarham, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Wan Mohamad Saman, Sungai Korok Alor Setar dan lulus Senior Cambridge pada 1963.

Mohd Hamdan kemudiannya mengikuti pendidikan agama Islam di bawah naungan Majlis Agama Islam Kedah sehingga ke peringkat IV Thanawi pada 1965. Allahyarham juga pernah mengikuti program intensif pentadbiran awam di Intan pada 1970 dan mendapat latihan pentadbiran umum di Kolej Pentadbiran dan Latihan Kastam di Melaka pada 1978.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru bahasa di Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah selama dua tahun mulai 1964 dan merupakan bekas pegawai tadbir negeri Kedah antara tahun 1966 dan 1977.

Beliau pernah bertugas sebagai pegawai tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dari tahun 1977 hingga 1983.

Allahyarham juga aktif dalam pergerakan belia dan pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia pada 1973 dan mewakili PAS Pulau Pinang sebagai Anggota Pemadam pada 1989 hingga 1999.

TERKINI!!!!!
Sementara itu, pada jam 9.30 pagi tadi, jenazah Allahyarham telah dibawa dari IJN ke Permatang Pasir.Turut mengiringi jenazah ialah sanak saudara dan kaum keluarga yang sejak semalam menemani Allahyarham di IJN. Menurut salah seorang anak allahyarham, Dr Hamdan meninggal selepas dimasukkan ke IJN Isnin lalu, namun katanya Allahyarham meninggal dengan amat mudah pagi tadi.

"Tak nampak tanda-tanda beliau tenat semalam, saya sedang buat surat cuti untuk Allahyarham dari menghadiri Dun Pulau Pinang, namun belum sempat siap surat tersebut, pagi ini Allahyarham menghembuskan nafasnya, beliau seorang yang cukup tenang dan bapa yang sangat baik dan penyayang," ujar seorang menantunya kepada Harakahdaily.

Suasana sayu mengiringi perjalanan jenazah sebaik dikeluarkan dari Bilik Mayat IJN.Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali dan pimpinan PAS yang lain.

Mewakili pihak PAS, Mahfuz mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian Adun Permatang Pasir.

"Beliau seorang yang cukup baik, rapat dengan rakyat, komited dan wakil rakyat yang memahami kehidupan rakyat, beliau rakan saya yang banyak membantu saya terutamanya ketika saya ditahan ISA (operasi lalang).Beliaulah yang menjaga kebajikan anak isteri saya.

"Beliau juga adalah teman yang amat memahami, saya rasai kehilangan yang sangat besar kepada satu perjuangan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden KeADILan turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Dr Wan Azizah menyifatkan, Pakatan Rakyat kehilangan 'permata' yang sangat komited dengan kerja, membantu Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Umum KeADILan itu menghadapi krisis politik tahun 1998.

"Beliau seorang yang mudah memahami, sangat penyayang dan bekerja keras untuk rakyatnya," ujar beliau.

Semuga roh Allahyarham ditempatkan ditempat yang terpuji... Al Fatihah. - http://greenboc.blogspot.com

Photobucket

1 comment:

Alch said...

Hi...Just droppin' by... If you are looking for ways to market your blog, I may help you in some way that I can. Visit Me Here! i will be glad to help you!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...