Photobucket
http://airrakyat.epetitions.net/images/petitions/046bde8e644231f0515ba45e14f2e9df/topBanner.jpg

15 September 2008

Zaid Ibrahim sah letak jawatan anggota Kabinet

 15-09-2008 04:46:55 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan keputusannya untuk berundur sebagai anggota Kabinet.

Perkara tersebut disahkan oleh pegawai khas beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

"Ya, perkara itu betul (letak jawatan). Surat letak jawatan juga telah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini," katanya.

Pejabat Zaid juga berkata, beliau akan menjelaskan pendiriannya dan alasan atas keputusan beliau pada sidang akhbar pagi esok.

Keputusan itu dibuat sehari selepas beliau memberikan pandangan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.

Kata beliau, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Sehubungan itu jelas Zaid, beliau sedia untuk meletak jawatan kerana memberikan pandangan yang dilihat bertentangan dengan 'dasar kerajaan' itu.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan (kerana memberikan pandangan ini), saya akan berbuat demikian," katanya.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas soal perundangan dan kehakiman itu berkata, beliau bukan sebagai pencetus masalah kepada Perdana Menteri, sebaliknya hanya mempertahankan prinsip dan sentiasa memberikan pendirian kritikal dalam soal penggunaan ISA.

Zaid merupakan peguam terkenal yang menyertai arena politik kemudian dan kini merupakan anggota Umno. Beliau menyertai Umno tahun 2000. Beliau merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004 hingga 2008.

Pada pilihan raya umum Mac lalu beliau tidak dipilih sebagai calon tetapi kemudian menyertai jemaah menteri selaku senator.

Sumber : Mstar online


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...