Pertengkaran terbuka jejas imej kerajaan dan BN - Muhyiddin
PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Pertengkaran terbuka antara Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mengenai isu kewangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) telah mencemarkan imej kerajaan dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kedua-dua pemimpin mesti memahami hakikat itu sebelum mengeluarkan kenyataan terhadap satu sama lain di media.
"Pada masa ini semua dibuat secara terbuka. Kedua-dua mereka mengeluarkan kenyataan. Saya serah kepada mereka untuk menyelesaikannya. Kedua-dua mereka telah membuat dakwaan dan laporan polis," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.
Muhyiddin berkata keadaan itu tidak membantu membaiki imej kerajaan dan mereka sepatutnya berhenti daripada menceritakan perihal dalaman kepada umum kerana ada banyak cara untuk mereka menyelesaikan isu itu.
"Sebagai pemimpin, mereka sepatutnya lebih tahu. Mereka sepatutnya menunjukkan teladan dan biar rakyat menilainya. Adalah penting untuk mereka memahami keadaan ini...mereka sepatutnya faham kesan percakaran seumpama itu terhadap kerajaan," katanya.
Kedua-dua pemimpin itu terbabit dalam pertengkaran secara terbuka mengenai isu PKFZ dengan Tiong mendakwa Ong, yang juga presiden MCA, menerima RM10 juta daripada Tiong, yang juga ketua eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, pemaju siap guna PKFZ.
Ong membalas dakwaan itu dengan membuat laporan polis terhadap Tiong semalam dan kemudian mendedahkan kepada media bahawa beliau juga meminta peguamnya menghantar surat tuntutan.
Tiong membuat dakwaan itu pada Rabu dengan mengatakan duit itu dibayar secara ansuran tiga kali tahun lepas untuk aktiviti MCA.-- BERNAMA
Komen aku:
Satu demi satu skandal yang memalukan kerajaan dan parti pemerintah terbongkar. Bukan pembangkang yang bongkar tetapi mereka sendiri. Kalau pembangkang yang dedahkan, mereka akan kata itu adalah fitnah yang sengaja dilontarkan oleh pembangkang. Kau kata aku, aku kata kau...dan akhir nya terlondeh dan semua orang dah tahu.
Cuma mungkin yang belum tahu ialah SPRM sahaja agak nya sebab SPRM akan tiba tiba menjadi pekak, bisu dan buta apabila ada isu/skandal yang melibatkan anggota parti pemerintah. Kalau melibatkan Pembangkang, baru bisik bisik saja, tiba tiba SPRM dah ada depan pintu. Punya lah laju......
Buat lah sesuka hati engkorang selagi masih ada saki baki kuasa. Jangan ambil tindakan kepada apa apa juga salah laku yang dibuat oleh pemerintah Umno/BN. Biar mereka beraja di mata dan bersultan di hati kerana semua ini akan membuat kan rakyat akan bertambah benci dan meluat sehingga menjelang PRU 13 nanti. Pada PRU 13 nanti diharap rakyat akan menolak UMNO/BN secara total dan bukan hanya menafikan 2/3 majoriti sahaja.
No comments:
Post a Comment