Photobucket
http://airrakyat.epetitions.net/images/petitions/046bde8e644231f0515ba45e14f2e9df/topBanner.jpg

20 May 2009

Penyokong BN Punya Dua Pilihan Di Penanti: Penganalisis

BUTTERWORTH, 20 Mei (Bernama) -- Jika berlaku pertandingan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti pada 31 Mei ini, penyokong Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya mempunyai dua pilihan iaitu tidak keluar mengundi atau menyokong calon Bebas, demikian pandangan seorang penganalisis politik tempatan.

Dengan itu, tidak mustahil peratusan keluar mengundi merosot dengan banyak kali ini. Ia ekoran keengganan Barisan Nasional (BN) menyertai pilihan raya itu kerana berpendapat ia diadakan bukan disebabkan oleh keperluan sebenar Perlembagaan.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian menjangka ramai penyokong BN akan bertindak tidak keluar mengundi kerana menunjukkan kesetiaan kepada parti.

"Tindakan menyokong calon Bebas mungkin sebagai undi protes kerana BN tidak meletakkan calon. Mereka tidak mahu sokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), jadi mereka mungkin sokong calon Bebas," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal meletakkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman, 56, sebagai calon.

Selain itu, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan seorang ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman juga telah menyatakan hasrat bertanding atas tiket Bebas.

Beberapa pengundi yang merupakan penyokong BN berkata mereka belum lagi membuat keputusan mengenai tindakan yang bakal diambil pada pilihan raya itu.

"Nak tengok dulu siapa calon bebas yang bertanding. Saya belum buat keputusan. Kita mahu calon yang boleh membela nasib rakyat. Mungkin juga saya tidak akan keluar mengundi," kata Zakiah Bakar, 27.

Sementara itu, seorang lagi pengundi wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Yeoh, 65, berkata beliau hanya akan menyokong calon yang dirasakannya dapat membantu penduduk kawasan itu.

"Kita tak mahu perkara sama berlaku. Adun dulu tiba-tiba letak jawatan. Tunggu Sabtu ini (hari penamaan calon). Kita tengok dulu siapa yang mahu bertanding," katanya.

Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow berkata parti itu berpendirian bahawa calon yang dipilih mestilah boleh berkhidmat untuk rakyat.

"Kita tengok dulu siapa calon yang akan bertanding. Yang pasti kita tidak mahu penyokong kita di Penanti undi calon PKR," katanya.

Beliau berkata parti itu akan berbincang dengan parti komponen BN bagi menentukan langkah yang perlu diambil oleh penyokong BN di Penanti pada pilihan raya itu.

Sementara itu, Umno mengambil pendekatan memberi kebebasan kepada penyokongnya di Penanti untuk membuat pilihan terbaik demi masa depan mereka. Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata parti itu tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada penyokongnya berhubung tindakan yang perlu diambil pada pilihan raya itu.

"Ikut suka masing-masinglah. Tapi takkan lah penyokong kita nak undi PKR. Kalau mereka tak keluar mengundi pun, kita tak boleh kata apa," katanya.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Mohammad Fairus Khairuddin.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Fairus mendapat 7,346 undi berbanding calon BN Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (5,127 undi).

-- BERNAMA


Photobucket

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...