Photobucket
http://airrakyat.epetitions.net/images/petitions/046bde8e644231f0515ba45e14f2e9df/topBanner.jpg

21 May 2009

Van Keselamatan dirompak, RM8.24j lesap dalam 5 minit

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan van kebal syarikat keselamatan sekali lagi dipersoalkan apabila lapan karung berisi RM8.24 juta ($3.4 juta) yang baru diambil daripada beberapa ATM dan deposit lesap dalam masa lima minit apabila dirompak di Cheras, malam Isnin lalu.


Dalam kejadian pada 7.10 malam itu, tiga lelaki - dua bersenjatakan pistol - melarikan wang itu selepas menyerbu sebuah van keselamatan yang berhenti di pekarangan kompleks beli-belah Leisure Mall.


Perompak bertopeng itu bagaimanapun tidak sempat melarikan empat lagi karung yang dipercayai mengandungi kira-kira RM2 juta daripada kenderaan berkenaan.


Kes itu dipercayai rompakan terbesar membabitkan van keselamatan setakat ini.


Berikutan kejadian itu, empat pengawal keselamatan van itu ditahan polis bagi siasatan lanjut.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menegaskan, polis memandang serius kes itu dan akan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan wujud kelemahan dalam prosedur penghantaran dan pengambilan wang tunai serta kawalan terhadap van keselamatan.


'Jika siasatan mendapati ada kelemahan dalam prosedur memindah wang menggunakan van keselamatan, kita perlu memperbaikinya dan polis sedia beri cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi mengemas kini garis panduan berkaitan,' katanya.


Timbalannya, Penolong Pesuruhjaya Khairi Ahrasa, pula berkata ketika kejadian itu dua pengawal melakukan proses kemas kini ATM dan deposit di pusat beli-belah itu, manakala dua lagi menunggu dalam kenderaan berkenaan.


'Tiga perompak itu menyerbu masuk van itu dan mengacukan pistol ke arah dua pengawal keselamatan dalam kenderaan berkenaan sebelum diarah keluar.


'Perompak terbabit cuba melarikan van itu tetapi kenderaan itu terhenti dan terkunci apabila sistem keselamatan aktif secara automatik selepas bergerak kira-kira 200 meter,' katanya sambil mempersoalkan bagaimana perompak terbabit boleh melepaskan diri sedangkan pintu van itu terkunci sebaik sistem keselamatannya diaktifkan.


Difahamkan, perompak terbabit melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang sedang menunggu. -- BHM.

Photobucket

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...