29 April 2009

Kenyataan Husam Musa berhubung pencalonannya untuk Timbalan Presiden PAS


Sehingga hari ini saya rasa sebelum saya mengumumkan secara rasmi sama ada saya bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau tidak. Saya perlu membuat pertimbangan terhadap beberapa perkara terlebih dahulu.


Faktor pertama ialah, saya harus meneliti harapan daripada PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden.Sejauh mana mereka mengharap supaya saya bertanding. Saya harus menghubungi PAS kawasan-kawasan yang telah memberikan pencalonan mereka untuk mengetahui sebab-sebab mengapa mereka merasakan saya perlu bertanding. Dan jika sebab itu valid, Insya Allah barulah saya buat keputusan secara muktamad.


Faktor kedua ialah, saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya. Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah.


Ketiga, faktor yang saya harus pertimbangkan adalah, adakah dengan penyertaan saya itu saya boleh mengukuhkan pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti, dan bagaimana cara saya boleh berperanan untuk tujuan tersebut. Jawatan Timbalan Presiden PAS ditandingi sejak tahun 2005 dan sekali lagi pada tahun 2007. PAS tidak berpecah walaupun ada yang menang dan ada yang tewas.


Saya percaya bahawa tradisi dan nilai mulia dalam PAS masih kekal dan PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno dalam soal pemilihan ini. Cuma ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah ada perebutan kuasa yang sengit dalam PAS.


Suka saya nasihatkan pimpinan dan ahli-ahli PAS supaya menjaga etika sepanjang pemilihan ini supaya tidak memenuhi agenda media memperlihatkan PAS ini sama dengan Umno. PAS sebenarnya tidak sama dengan Umno, tetapi kadang-kadang cara kita bertindak boleh jadi silap dan memenuhi agenda media arus perdana yang dikuasai Umno-BN.


Kesilapan kita menyebabkan media gembira memetik maklumat dalaman yang boleh melaga-lagakan antara sesama pemimpin, sedangkan agenda media jelas, mahu menyamakan antara PAS dengan Umno.


Bagi saya jika terdapat perkara, yang ahli-ahli ataupun mana-mana pihak dalam PAS rasa menyalahi disiplin PAS, mereka perlu memaklumkan kepada parti dan saya berharap pimpinan-pimpinan tertinggi parti tidak berdiam diri mereka mesti memperlihatkan satu tahap displin yang tinggi supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan yang boleh merosakkan imej PAS yang telah dibina selama ini termasuk termasuk perpaduan sesama ahli.


Pada pendapat saya, Pilihan Raya Umum ke 13 adalah satu pilihan raya yang kritikal kepada semua parti-parti politik utama dalam negara kita. Ianya adalah penentuan samada PAS boleh menjadi teraju utama menggantikan Umno dalam politik negara.


Ini bermakna pertandingan yang lebih kritikal adalah di antara PAS dengan Umno. Jika PAS berjaya mendapatkan kemenangan diatas kerusi-kerusi yang sekarang ini dipunyai oleh Umno, maka PAS boleh keluar sebagai the main anchor party pada masa akan datang.


Jadi tiga faktor inilah yang harus saya pertimbangkan dan rundingkan dengan PAS kawasan-kawasan, ahli-ahli, sebelum saya memberikan kata muktamad saya untuk bertanding.


Pada tahap ini, saya merasakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Walaupun terdapat beberapa nama lain yang dicalonkan ke jawatan Timbalan Presiden, saya fikir tiada masalah untuk mengadakan muqabalah rakan-rakan yang dicalonkan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada mana-mana calon yang lebih mustahak di kedepankan.


Jika PAS boleh membuat muqabalah dengan Umno, maka saya merasakan tiada sebab untuk tidak boleh berunding dengan calon-calon jawatan tertinggi dalam PAS.


Bagaimanapun setakat pemahaman saya, PAS sendiri tidak pernah secara rasmi mempunyai pendirian terhadap perkongsian kuasa dengan parti pemerintah yang sedia ada.


Oleh kerana tidak ada apa-apa ikatan rasmi maka saya fikir, jalan yang lebih munasabah bagi PAS ialah untuk memperkuatkan parti, mendapatkan sokongan di kawasan-kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh Umno.


Bagaimanapun, iika sekiranya arah tuju PAS dapat diperjelaskan dan tidak ada keraguan tentang hubungan hubungan sulit PAS dan Umno, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang-pemegang jawatan yang sedia ada.


Tetapi pada pendapat saya dari trend yang berlaku sekarang ialah wujudnya keraguan terhadap arah tuju PAS, dan masa kita singkat, saya yakin Pilihan Raya Umum ini akan dipanggil lebih cepat dan mungkin dalam tempoh 6 bulan hingga 12 bulan daripada sekarang.


Jika PAS teragak-agak untuk menentukan arah tujunya, maka PAS akan kehilangan peluang persiapan yang secukupnya.


Jelas Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak sudah membuat ketetapan untuk memperkukuhkan PAS dalam Pakatan Rakyat. Kemudian dalam pilihan raya-pilihan raya kecil pun ada kenyataan dan usaha bersama untuk berdiri atas platform Pakatan Rakyat, itu adalah yang telah dimuktamadkan dan kita kena harus bergerak di atas format yang telah dimuktamadkan bagi memenuhi agenda tersebut.


HAJI HUSAM MUSA

NAIB PRESIDEN PAS

29 April 2009

Kota Bharu, Kelantan

Kenyataan di atas disesuaikan dari sessi soal jawab dengan pihak media massa di Kilang Nur Abadi Garments, Zon Perindustrian Pengkalan Chepa pada 29 April 2009.


Sumber: http://www.husammusa.com

Photobucket

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...