01 April 2009

Selangor sedia lawan kenaikan tarif air



Kerajaan Negeri Selangor kesal terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan yang membenarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk terus beroperasi sebagai konsesi dan yang secara langsung menyetujui permintaan Syabas hendak menaikkan tarif air.

Keputusan tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap pentadbiran negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebaliknya terhadap pembayar cukai seluruhnya.

Malahan, Kerajaan Selangor berpendapat Syabas tidak layak diberikan lesen kerana ia gagal memperlihatkan prestasi yang memberangsangkan sebagaimana dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

Sehingga kini, perkhidmatan Syabas yang tertakluk pada Perjanjian Konsesi (Concession
Agreement - CA) dilihat sangat tidak memuaskan dan gagal mencapai tanda aras atau parameter yang ditetapkan CA.

Tambahan pula Syabas didapati melanggar syarat-syarat dalam CA. Perkara ini sudahpun dibawa ke pengetahuan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, di samping permohonan kita untuk membatalkan Perjanjian Konsesi (CA) dengan Syabas.

Walau bagaimanapun, Menteri berkenaan masih enggan mengambil tindakan terhadap Syabas, sebaliknya telah menyatakan hasrat untuk memberikan lesen kepada Syabas untuk meneruskan operasinya dengan alasan hak tersebut di luar kuasa Kerajaan Selangor.

Keputusan ini bukan sahaja bertentangan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula perkhidmatan air di Malaysia tetapi juga menjejaskan kepentingan pengguna seluruhnya.

Sebenarnya keputusan untuk menaikkan tarif air tidak dapat dipertahankan. Kerajaan Negeri Selangor percaya beberapa prasyarat bagi kenaikan tarif yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi belum mampu dipenuhi oleh Syabas. Paling mendukacitakan, beberapa kepincangan ditemui semasa audit dilakukan, dan hal ini menguatkan lagi alasan betapa tidak layaknya Syabas memikul tanggungjawab meneruskan operasi air.

Justeru itu, berdasarkan pendirian keras yang diperlihatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kesan buruk yang bakal menyusul daripada tindakan tersebut, terutamanya terhadap kepentingan awam, maka Kerajaan Negeri Selangor tiada pilihan lain, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang untuk mencari jalan penyelesaian.

Kerajaan Pakatan Rakyat berharap rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan Negeri dalam penstrukturan semula perkhidmatan air diSelangor. Untuk memahami isu-isu terbabit dalam pengurusan air di Selangor, orang ramai bolehlah melayari laman web rasmi berhubung isu ini di www.airuntukrakyat.com.

Sumber: Sekretariat Akhbar, Pejabat Menteri Besar Selangor

Komen Aku: Dulu-dulu orang panggil Jabatan Bekalan Air Selangor (JBA Selangor). Kemudian ditukar baju nya kepada Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) dan kemudian tukar baju baru lagi kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Badan tetap badan orang yang sama. Badan yang mempunyai banyak penyakit kulit seperti kurap dan panau. Lepas ini nak tukar baju lagi ke tidak, belum tahu lagi.... kalau nak tukar, aku syorkan KEBAS

Sekian


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...