Photobucket
http://airrakyat.epetitions.net/images/petitions/046bde8e644231f0515ba45e14f2e9df/topBanner.jpg

09 February 2009

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak meninggal dunia

Oleh Azamin Amin

 BATU GAJAH ,9 Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.

Beliau yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya daripada luar negara, demikian menurut Pegawai Khas beliau, Shaharudin Ahmad Sani kepada Harakahdaily sebentar tadi. Shaharudin mengendalikan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Gantang di Markas PAS Air Kuning, Taiping.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.

"Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.

"Apa-apa maklumat terkini saya akan sampaikan," kata Shaharudin ketika dihubungi semasa dalam perjalanannya ke Batu Gajah.

Difahamkan wakil rakyat berusia 50 tahun itu dikatakan telah menghantar keretanya ke sebuah pusat cucian kereta berhampiran rumahnya di Changkat Lalang dekat Batu Gajah.

Kemudian, selepas mengadu sakit dada beliau meminjam basikal milik pekerja pusat tersebut untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

Roslan, 50, ditemui terjatuh di bahu jalan oleh orang ramai kira-kira pukul 11.15 pagi, kata Ketua Polis Batu Gajah, ACP Najib Mohamad.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memberitahu kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Roslan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pernah juga berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak.

Malam tadi difahamkan semasa perhimpunan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Allahyarham kelihatan seperti biasa, bergurau berjenaka bersama rakan-rakan yang lain. Beliau yang juga pengamal pengubatan Syifaq amat disenangi oleh kawan dan lawan kata seorang kenalan.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Changkat Larang, Pengkalan Pegoh.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi.


Sumber:
Harakahdaily

Photobucket
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun.
Dari Allah kita datang kepada Allah jua kita kembali, kepada ahli keluarga Tuan Hj.Roslan Sharom, aku mengucapkan takziah diharap bersabarlah menghadapi ujian Allah. Semua kita menanti giliran untuk menghadap NYA

Marilah sama-sama kita doakan semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang solih. - Al-Fatihah.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...