Photobucket
http://airrakyat.epetitions.net/images/petitions/046bde8e644231f0515ba45e14f2e9df/topBanner.jpg

13 February 2009

Siapa yang menanggalkan baju besi yang dipakai Sultan ?


http://www.utusan.com.my/pix/2009/0208/Utusan_Malaysia/Muka_Hadapan/mh_01.1.jpg
Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. – DR. MAHATHIR MOHAMAD (Bekas Perdana Menteri)

Yang lain pun mahu memberi pendapat termasuk MUHYIDDIN YASSIN (Naib Presiden UMNO), DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), JAMALUDIN YUSOF (Presiden Pekida), IBRAHIM ALI (Presiden Perkasa). Semua keyataan mereka boleh dirujuk disini.

Aku cuma ingin bertanya, Siapa ? atau kumpulan mana ? atau kelompok mana ? yang membuat kan supaya Sultan atau raja boleh disaman dan dibicarakan. Tidak kira lah mahkamah khas atau bukan. Tentera pun ada mahkamah sendiri.

Pawang atau tok bomoh mana kah yang menawarkan (neutralkan) ilmu kebal yang ada pada Sultan atau raja. Kemudian ilmu kebal itu dimasukkan kebadan pawang dan ahli kumpulan pawang tersebut.

Siapa kah pahlawan yang gagah berani menanggalkan baju besi yang dipakai oleh sultan dan kemudian memakai nya?. Dari kumpulan dan kelompok mana kah pahlawan itu ?

Untuk mendapat jawapan, sila baca hujah yang dikupas oleh Mohamed Hanipa Maidin (Peguam)

Dibawah ini disertakan Teks ucapan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat semasa PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993 pada 8/3/1993 yang dirasakan mempunyai kaitan dengan isu yang dibincangkan.

Nota:
a. Cuba perhatikan, item no.4. Bukan kah ianya lebih kepada ugutan dan paksaan. YDP Agong setuju atau tidak, undang-undang tersebut tetap jadi sah selepas 30 hari.

b. Item no.14 menyatakan Raja-Raja bijak kerana bersetuju dengan pindaan Perlembagaan dengan pengubahsuaian ini. Rujuk semula item no.4.


Teks ucapan:

Tuan Yang di-Pertua, Saya telah menjelaskan dengan panjang lebar pada 18 Januari 1993 mengenai tujuan Kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan apa yang dianggap sebagai kekebalan atau immunity Raja-Raja, iaitu mereka tidak boleh dihadapkan ke mahkamah biasa untuk orang ramai kerana melakukan apa-apa kesalahan. Pindaan ini dibuat kerana difikirkan pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang- undang sudah tidak sesuai lagi dengan aliran zaman. Dengan pindaan ini adalah dipercayai perasaan marah kepada Raja atau Sistem Beraja dapat dielakkan kerana rakyat akan dilindungi oleh undang-undang daripada dianiaya oleh Raja dan dengan itu adalah dipercayai dan diharap Raja tidak akan melakukannya. Dengan pindaan ini, perhubungan di antara Raja dengan rakyat akan menjadi lebih teratur dengan kedua- kedua pihak mempunyai hak-hak tertentu di bawah undang- undang yang jelas dan bukan lagi hanya ditentukan oleh adat yang mudah disalaherti dan disalahtafsirkan. Rakyat tidak lagi akan marah kepada Raja kerana apa yang dilakukan oleh Raja adalah terhad kepada peruntukan di bawah undang-undang. Sebaliknya jika rakyat melakukan sesuatu kesalahan terhadap Raja, maka yang akan menentukan hukum ialah pengadil atau hakim dalam Mahkamah Khas yang akan menguatkuasakan undang- undang biasa.

2. Setelah dibahas, Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 telah diluluskan mengikut peruntukan Perlembagaan dengan lebih daripada dua pertiga majoriti oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Menurut prosedur, Rang Undang-undang ini telah dihantarkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

3. Setelah menerimanya Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan mempunyai dua pilihan, iaitu:
* Baginda memberi perkenan kepada Rang Undang-Undang tersebut dalam tempoh 30 hari; atau
* Baginda memulangkan balik kepada Parlimen dengan menyatakan mengapa Rang Undang-Undang tersebut tidak diperkenankan untuk dipertimbangkan semula atau diubahsuaikan oleh Parlimen.

4. Kini Yang di-Pertuan Agong telah mengembalikan Rang Undang-Undang tersebut dengan cadangan beberapa pengubahsuaian untuk dipertimbangkan semula oleh Parlimen.Jika Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang ini, sama ada dengan pengubahsuaian atau tidak, ia akan dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika Yang di-Pertuan Agong memperkenankannya maka ia akan menjadi sebahagian daripada undang-undang yang sah. Jika tidak diperkenankan ia akan menjadi sah selepas genap 30 hari.

5. Pengubahsuaian yang dibuat terhadap Rang Undang-Undang berkenaan adalah hasil daripada beberapa perbincangan di antara pihak Kerajaan dengan pihak Raja-Raja. Pengubahsuaian ini disyorkan demi memperkemaskan undang- undang berkenaan dan menjaga kehormatan Raja-Raja.

6. Pengubahsuaian ini tidak menjejaskan tujuan utama Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) l993 yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu menentukan Raja boleh didakwa di bawah undang-undang negara. Perbezaannya ialah Raja-Raja akan dihadapkan ke Mahkamah Khas sahaja. Peruntukan asal dalam Perlembagaan bahawa Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah biasa dikekalkan.

7. Penyesuaian ini memerlukan dua perkara yang baru ditambah kepada Rang Undang-Undang berkenaan. Perkara yang pertama ialah mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau kedudukan Raja sekiranya Baginda atau Raja menghadapi tindakan undang-undang. Yang di-Pertuan Agong hendaklah berhenti menjalankan fungsinya sebagai Agong apabila menghadapi tindakan undang-undang. Begitu juga dengan Raja- Raja Negeri. Sekiranya Raja menghadapi tindakan undang- undang, Raja hendaklah berhenti menjalankan fungsi Baginda dan jika didapati bersalah dan dihukum penjara lebih daripada satu hari akan diturunkan takhta melainkan jika Baginda diampun. Dalam tempoh Raja berhenti menjalankan fungsi-fungsi Raja, seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja akan dilantik mengikut Perlembagaan Negeri untuk menjalankan fungsi Raja negeri berkenaan. Bagi membolehkan fungsi-fungsi Raja itu dijalankan oleh seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Penyesuaian ini, saya percaya, disyorkan oleh Raja-Raja kerana tentulah aneh dan tidak dapat diterima oleh masyarakat dan juga oleh Raja- Raja jika seorang Raja yang dihadapkan ke Mahkamah Khas ini terus menjalankan tugasnya sebagai Raja atau ianya masih terus menjadi Raja setelah dihukum oleh mahkamah dan menjalani hukuman.

8. Mengikut peruntukan Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri mesti mengandungi peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Maka selaras dengan pindaan-pindaan yang diperbuat kepada Jadual Kelapan itu Kerajaan Negeri juga perlu mengambil tindakan untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing supaya Perlembagaan Negeri juga selaras dengan peruntukan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

9. Adalah diharapkan Kerajaan-Kerajaan Negeri akan menghormati keputusan Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan dengan membuat pindaan tersebut.

10. Sekiranya Perlembagaan Negeri tidak juga dipinda supaya peruntukan Perlembagaan Negeri sejajar dengan pindaan yang dibuat kepada Jadual Kelapan itu, maka mengikut kuasa yang diberi di bawah Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, satu undang-undang boleh dibuat di peringkat Persekutuan untuk memastikan bahawa peruntukan-peruntukan di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan itu dapat juga dikuatkuasakan di dalam negeri-negeri. Dengan demikian kita berharap pindaan-pindaan yang dimaksudkan itu akan dilaksanakan oleh semua Kerajaan Negeri.

11. Pindaan yang kedua ialah sebarang tindakan ke atas Raja-Raja tidak boleh diambil tanpa persetujuan Peguam Negara. Ini adalah bagi menjamin Raja-Raja tidak diheret ke mahkamah oleh pihak-pihak yang hendak memalukan Raja-Raja atas sebab-sebab yang tidak berasas.

Tuan Yang di-Pertua,

12. Kerajaan menyokong Rang Undang-Undang pindaan yang disyorkan dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja ini kerana ianya selaras dengan pindaan asal. Pindaan ini adalah untuk kebaikan rakyat, Raja-Raja dan Kerajaan. Ianya memberi keadilan kepada semua pihak dan sesuai dengan pentadbiran negara masakini serta selaras dengan pemikiran di zaman ini berkenaan dengan Sistem Beraja.

13. Persetujuan Raja-Raja kepada pindaan Rang Undang-Undang ini adalah baik untuk masa depan Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen negara ini.

14. Kerajaan menyanjung tinggi kebijaksanaan Raja-Raja kerana bersetuju dengan pindaan Perlembagaan dengan pengubahsuaian ini.

15. Dengan lulusnya pindaan kepada Rang Undang-Undang ini kelak oleh Parlimen dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita yakin semua pihak akan dapat menumpukan perhatian dan usaha-usaha ke arah pembangunan dan kemajuan negara tanpa gangguan lagi.

Tuan Yang di-Pertua,

16. Perbincangan berkenaan pindaan kepada Perlembagaan untuk memberi perlindungan undang-undang kepada rakyat daripada sebarang tekanan atau penganiayaan oleh Raja telah mengambil masa yang agak panjang. Kadang-kadang kita dengar kritikan bahawa serangan terhadap Raja, tingkah-laku dan cara hidup mereka adalah keterlaluan.

17. Sayugia diingatkan bahawa sehingga tahun 1990 tidak ada sesiapa yang mengkritik atau menegur Raja secara terbuka.Ini mungkin kerana adat resam orang Melayu atau kerana takut melanggar Akta Hasutan.

18. Tetapi selepas Pilihanraya Umum 1990 perasaan marah kepada Raja Kelantan telah meluap kerana Baginda telah secara aktif dan terbuka berkempen bagi pihak parti bapa saudaranya. Rakyat tidak dapat menerima bukan sahaja perbuatan membelakangkan larangan berpolitik oleh Raja, tetapi juga percubaan untuk menaikkan keluarga sendiri ke jawatan tinggi -- satu jenis nepotisma yang amat berbau feudal dan anti demokrasi.

19. Semenjak itu rakyat mula mengkritik Raja secara terbuka. Mereka tidak berasa segan-silu lagi. Apa yang telah dilakukan oleh Raja Kelantan ialah membuka, dengan izin Tuan Yang di-Pertua `a can of worms`. Malangnya bau busuk yang keluar terlekat juga kepada Raja-Raja lain. Bak kata pepatah Melayu kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit juga.

20. Kerana Raja Kelantan, adat resam dan ketakutan rakyat kepada undang-undang telah hilang. Maka apabila berlaku peristiwa Gomez, rakyat membuat teguran dan kritikan terhadap Raja-Raja dengan begitu lantang. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang percaya kepada kedaulatan undang- undang tidak dapat berdiam diri. Untuk memberi perlindungan kepada rakyat maka pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan seperti dalam Akta yang dibahaskan oleh Dewan ini pada 18 dan 19 Januari 1993.

Tuan Yang di-Pertua,

21. Sepatutnya Raja Kelantan sedar dan insaf akan hasil dan kesan penglibatannya dalam politik parti keluarganya.Tetapi nampaknya Raja Kelantan tidak sedar dan tidak insaf.

22. Dalam usahanya untuk menolak pindaan yang telah dipersetujui oleh Raja-Raja, Raja Kelantan telah antara lain mendakwa bahawa persidangan Dewan yang mulia ini semasa membahaskan Pindaan Perlembagaan pada 18 Januari 1993 adalah tidak sah. Raja Kelantan mendakwa pula bahawa persidangan ini pun tidak sah.

Tuan Yang di-Pertua,

23. Saya khuatir Raja Kelantan mungkin telah sekali lagi membuka, dengan izin, satu lagi `can of worms`. Apabila dakwaan dibuat oleh satu pihak terhadap pihak yang lain, pihak yang lain juga boleh melempar dakwaan yang sama.

24. Jika Dewan Yang Mulia ini didakwa tidak sah oleh Raja Kelantan, Dewan ini juga boleh mendakwa, dengan sebab-sebab yang berasas, bahawa mungkin perlantikan dan penabalan Raja Kelantan sekarang sebagai Sultan Negeri Kelantan tidak sah. Mungkin ada orang lain yang lebih berhak.

25. Jika dakwaan-dakwaan seperti ini mula dibuat, mungkin ia akan merebak dan berpanjangan dan lumpur akan terpalit pula kepada tubuh badan orang lain.

26. Kita tidak ada niat jahat terhadap Raja Kelantan.Tetapi gerak-geri Raja Kelantan dalam isu pindaan Perlembagaan ini amatlah tidak menyenangkan. Bukan sahaja Kerajaan Pusat tidak dihormati, tetapi Raja-Raja lain juga tidak dihormati.

27. Jika setelah bermesyuarat secara teratur, Majlis Raja- Raja tidak memegang kepada keputusan yang dibuat, siapakah yang akan menghormati mesyuarat Majlis Raja-Raja, atau Majlis itu atau Raja-Raja? Saya tidak ingin meramalkan kesan yang akan menyusuli kehilangan kepercayaan dan kehormatan kepada Majlis Raja-Raja dan institusi Raja kerana perbuatan Raja Kelantan.

Tuan Yang Di-Pertua,

28. Saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa Raja tidak pernah mengatasi undang-undang. Negara kita dibentuk mengikut satu Perlembagaan yang bertulis. Kita semua memegang jawatan masing-masing mengikut peruntukan ini, termasuklah Raja-Raja. Perlembagaan atau undang-undang tubuh atau undang-undang asas negara adalah undang-undang yang menentukan adanya Raja, adanya Yang di-Pertuan Agong, adanya Majlis Raja-Raja, adanya Jemaah Menteri dan sebagainya. Institusi-institusi ini dari awal lagi tidak wujud dengan sendirinya tetapi adalah hasil perjanjian di antara rakyat dengan pihak yang dipertuankan, hasil daripada satu kontrak sosial yang contohnya ialah perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba Trimurti Tribuana.

29. Apabila kita menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Raja-Raja telah secara rasmi menandatangani perjanjian Federation of Malaya dan menerima undang-undang asas, iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menentukan kedudukan, tempat dan peranan masing-masing.Penerimaan undang-undang ini bermakna semua pihak meletakkan diri mereka di bawah undang-undang. Soal Raja-Raja mengatasi undang-undang tidak wujud dan tidak pernah ada.

30. Hanya yang ada ialah Raja-Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah-mahkamah yang pada ketika itu diwujudkan oleh Perlembagaan. Tidak boleh dihadapkan ke mahkamah tidak bermakna dikecualikan daripada peruntukan undang-undang negara ini. Bahkan tidak boleh dihadapkan ke mahkamah juga merupakan satu undang-undang, dan di bawah undang-undang inilah maka Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah. Jika ini dianggap satu keistimewaan Raja-Raja, maka keistimewaan ini masih kekal dengan pindaan yang disyorkan oleh Majlis Raja-Raja.

31. Sekarang ini diperuntukkan satu badan khas untuk membicarakan Raja-Raja yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara. Mahkamah Khas yang ditubuhkan ini bukan untuk rakyat tetapi untuk Raja. Ini tidak melucutkan keistimewaan Raja daripada segi tidak boleh didakwa di mahkamah biasa, tetapi menambah keistimewaan itu dengan mewujudkan satu mahkamah yang khas bagi Raja.

32. Bagi rakyat, yang penting ialah mereka mendapat perlindungan undang-undang daripada sebarang penyalahgunaan kedudukan yang dilakukan oleh Raja. Bagi Raja, keistimewaan mereka dikekalkan. Bagi negara, konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen mendapat makna yang lebih tepat dan jelas.

Tuan Yang di-Pertua

33. Ada pihak yang cuba menggambarkan persetujuan Raja-Raja ini sebagai hasil daripada tekanan ala-Mac Michael. Pihak ini berasa kecewa kerana segala usaha dan nasihat mereka yang tidak baik tidak berhasil. Mereka ingin menggunakan isu ini sebagai isu politik. Mereka tidak sama sekali memikirkan tentang kepentingan rakyat yang perlu dilindungi daripada tindakan-tindakan yang salah oleh Raja. Saya yakin mereka akan menyebarkan dakwaan mereka kononnya Kerajaan ini bertindak seperti Mac Michael dengan membuat tekanan ke atas Raja sehingga mereka bersetuju. Kita berpendapat bahawa persetujuan ini adalah suatu kebaikan. Sama ada ia diperlukan oleh undang-undang ataupun tidak, terpulanglah kepada mahkamah untuk menentukannya.

34. Saya harap mereka ini yang kecewa dalam politik, yang tidak ada tempat dalam politik negara akan berhenti daripada usaha yang tidak berfaedah ini dan sebaliknya bekerjasama dengan Kerajaan untuk membangunkan negara ini. Kalau sudah tidak laku, saya rasa tidak usahlah kita menjual lagi diri kita. Mereka ini takut hendak berhadapan dengan Parlimen apabila melihat mereka akan kalah. Sebab itu mereka tidak hadir pada kali ini. Dulu mereka hadir, tetapi kemudian telah keluar daripada Dewan. Tindakan mereka adalah cara orang pengecut, yang tahu akan kalah. Kita sepatutnya berani menghadapi lawan, dan kalau kalah, menerimanya. Dalam politik, kita tidak selalu boleh menang. Kalau semua orang selalu menang, tentulah susah. Dalam politik, bagaimana kita hendak membentuk Kerajaan jika kalau yang kalah pun menang, dan yang menang, menang?

35. Jadi saya harap mereka yang ingin terus dalam politik menerima hakikat bahawa kadangkala kita menang dan kadangkala kita kalah. Ini, bila menang, terima keputusan tetapi bila kalah enggan terima keputusan. Inilah yang menjadi masalah kepada kita.

36. Oleh kerana sebab-sebab ini saya menyokong pindaan yang disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja kepada Akta meminda Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Dewan ini pada 19 Januari 1993.

Sumber Teks: http://www.pmo.gov.my/ucapan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...